Berikutan kejayaan pelaburan strategiknya dalam KFC Holdings (Malaysia) Bhd, QSR Brands turut melabur dalam beberapa aktiviti lain, dalam rangka mengukuhkan perniagaan utamanya - iaitu mengendalikan rangkaian restoran makanan segera Barat. Turut terangkum dalam struktur ‘Integrasi Total' ini ialah kilang makanan ternakan, ladang ternak, pusat penetasan, ladang-ladang ternak (broiler) kontrak, kilang memproses daging ayam dan kilang pemerosesan lanjutan, kilang sos dan perisa masakan, kilang roti dan pusat latihan kemahiran.

Struktur sinergi atau usahasama ini dianggap penting untuk keseluruhan operasi Kumpulan kerana ia mampu menyediakan perkhidmatan sokongan yang konsisten; membekalkan ayam berkualiti pada harga kompetitif untuk operasi restorannya; kawalan kos yang lebih efektif/berkesan dan mampu membekalkan ayam untuk permintaan pasaran terbuka yang semakin meningkat sama ada di dalam mahupun di luar negara. Malah setiap komponen yang terdapat dalam struktur 'Integrasi Total' ini memainkan peranan penting dalam fungsi dan sumbangannya terhadap prestasi dan keuntungan Kumpulan.
Kilang Makanan Ayam
Kilang makanan ayam milik Kumpulan QSR merupakan kilang yang menggunakan teknologi moden serta berkomputer sepenuhnya. Ia mula beroperasi pada tahun 1990 dengan kemampuan menghasilkan 120,000 tan metrik makanan ayam setahun. Bagaimanapun, peningkatan permintaan terhadap makanan ayam bermutu tinggi telah mendorong Kumpulan QSR meningkatkan kapasiti kilang tersebut, dengan sasaran menghasilkan 180,000 tan metrik makanan ayam setahun. Sebagai kilang makanan ayam terbesar di Malaysia, kini ia mampu membekalkan 10% daripada jumlah keseluruhan pasaran tempatan. Sementara itu 80% daripada jumlah pengeluarannya dibekalkan untuk kegunaan ladang ternaknya sendiri dan ladang ternak (broiler) kontrak manakala selebihnya dijual di pasaran terbuka.

Dengan kedudukan strategiknya di Pelabuhan Klang memudahklan kilang ini mengendalikan urusan mengimport bijirin makanan ternakan dan bahan mentah terbaik dari Eropah, Amerika Syarikat, Australia, Amerika Selatan dan beberapa negara Asia. Kilang ini sering menjalankan ujian makmal tertentu untuk mengawal kualiti di setiap peringkat pengeluaran. Kilang ini juga mematuhi prosedur kawalan mutu antarabangsa yang ketat, bagi memastikan kesemua keperluan khas pemakanan ayam dipatuhi dan seterusnya memastikan pembesaran ayam secara optima.
Ladang Ternak

Pada 1988, KFC Holdings (Malaysia) Bhd, yang merupakan syarikat subsidiari Kumpulan QSR Bhd telah memulakan usaha penternakan ayam, setelah mendapat kebenaran atau hak eksklusif dari syarikat membekal baka ayam ternama di Scotland, Ross Breeders. Baka ayam dari Ross Breeders memang terkenal cepat membesar, bersaiz badan sekata, mempunyai jangka hayat yang panjang, mampu memproses makanan dengan baik serta mempunyai kandungan daging yang tinggi.

Setiap tahun, kira-kira 320,000 stok induk baka ayam diimport dan ditempatkan di lima buah ladang ternak milik Kumpulan QSR. Ladang-ladang berkenaan pula mampu menghasilkan 36 juta ekor anak ayam setahun. Ia dikatakan mampu menampung keperluan perniagaan Kumpulan QSR, sekaligus membekalkan keperluan untuk pasaran terbuka sama ada pasaran domestik mahupun pasaran eksport.

Bagi menjamin matlamat menghasilkan ayam bermutu tinggi dan terbaik mampu dicapai oleh Kumpulan QRS dalam usaha penternakannya, Kumpulan ini terus memantau perkembangan terkini teknologi ternakan dari masa ke masa. Mana-mana teknologi bersesuaian akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam rangka menghasilkan ayam terbaik pada kos yang paling efisien.Sehingga kini, QSR telah membina ladang ternakan ayam yang dilengkapi dengan sistem kawalan suhu serta sistem pemakanan formula berjadual yang dibekalkan terus dari kilang makanan secara otomatik.

Kawalan kebersihan dan peraturan keselamatan biologi yang ketat turut diamalkan di ladang-ladang. Setiap reban ayam di ladang ternak didirikan pada jarak yang ditetapkan, bagi mengurangkan kemungkinan jangkitan penyakit dan pencemaran. Sebuah makmal diagnostik dibina bagi memantau kesihatan ayam dan anak ayam yang terdapat di ladang ternakan.

Pusat Penetasan
Pusat penetasan ayam milik Kumpulan QSR menggunakan inkubator dan mesin penetas yang diimport dari Chickmaster, Amerika Syarikat. Di pusat ini, sistem penyejukan dan penyejatannya mampu menghasilkan persekitaran yang kondusif untuk proses penetasan anak ayam. Untuk memastikan penghasilan anak ayam yang berkualiti, prosedur kebersihan yang ketat diamalkan. Anak ayam yang dihasilkan juga dihantar ke ladang-ladang ternak melalui sistem penghantaran Kumpulan, untuk memastikan anak-anak ayam berkenaan tiba dalam keadaan baik.
Ladang-ladang Ternak Kontrak
Dalam rangka memenuhi permintaan yang semakin bertambah terhadap ayam tanpa perlu mengeluarkan kos tambahan, Ayamas Food Corporation (sekutu Kumpulan QSR) telah melaksanakan sistem ladang ternak (broiler) kontrak yang terbukti sangat berkesan. Anak ayam berusia sehari serta makanannya sekali dibekalkan kepada 68 penternak kontrak yang terdapat di seluruh Malaysia. Pakar-pakar ternakan sama ada di kalangan kakitangan Kumpulan mahupun dari agensi-agensi kerajaan akan mengadakan lawatan berkala ke ladang-ladang ternak untuk memastikan amalan penternakan dan program pemakanan yang disediakan dipatuhi.

Untuk menggalakkan penternak kontrak menghasilkan ayam terbaik, bayaran dibuat berdasarkan kualiti ayam yang diternak. Ayam yang mempunyai berat yang dikehendaki pada usia tertentu (yang sedia dipasarkan) akan dihantar ke kilang pemerosesan di Pelabuhan Klang dan di Juru, Pulau Pinang.

Ayamas turut mengambil beberapa langkah lanjut untuk meningkatkan pengeluaran ayamnya bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat. Ia mempunyai matlamat untuk meningkatkan pengeluaran ayam segar daripada 2.8 juta sebulan kepada 4 juta ekor pada tahun 2005. Di bawah Persetujuan Lima Tahun dengan para penternak kontraknya, Ayamas akan menyediakan anak ayam berusia sehari kepada penternak kontrak serta keperluan makanannya sekali.

Pada 2003, Ayamas telah melancarkan program usahasama dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Bank Pertanian Malaysia untuk memberi bantuan kepada lebih banyak penternak ayam menjadi penternak kontrak Kumpulan QSR. Untuk meningkatkan keupayaan dan memperluaskan operasi peladang kontrak, Ayamas sering menganjurkan seminar untuk penternak kontraknya. Anugerah penghargaan tahunan turut disampaikan kepada penternak kontrak yang berjaya, sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka menghasilkan produk terbaik.
Pemprosesan Ayam

QSR Brands, melalui pelaburan strategiknya dalam KFC Holdings (Malaysia) Bhd, turut terlibat dalam aktiviti memproses ayam dan pemerosesan produk ayam lanjutan.

Peringkat awal pemprosesan melibatkan penyembelihan secara HALAL dan pemotongan ayam mengikut spesifikasi. Proses selanjutnya melibatkan pemprosesan produk utama daging ayam menjadi produk makanan seperti burger, nugget, bologna, smoked chicken, satay, sosej, bebola ayam, dan lain-lain lagi yang dipasarkan dengan jenama “Ayamas.”

Setiap hari, dua buah kilang pemerosesan Kumpulan mampu menghasilkan 120,000 ekor ayam.yang siap diproses. Kilang Ayamas di Pelabuhan Klang Malaysia merupakan kilang pemerosesan ayam terbesar di negara ini serta di rantau Asia Pasifik. Dengan peralatan berteknologi tinggi, kilang ini mampu memproses 80,000 ayam sehari dan 1,500 tan metrik produk ayam lanjutan setiap bulan.

Pengedaran produk-produk berkenaan dikendalikan sendiri oleh syarikat melalui trak yang dilengkapi peti simpanan sejuk. Penghantaran terus dari kilang ke pelanggan ini bagi menjamin kesegaran produk serta bekalan yang konsisten.

Penekanan dan komitmen Kumpulan terhadap kualiti pemerosesan turut mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk dari Yum! Brands International, sistem pemantauan restoran terbesar dunia yang mengawal lebih daripada 32,500 restoran di bawah jenama KFC, Pizza Hut, Taco Bell, Long John Silver dan A &W di lebih dari 100 buah negara.

Hari ini, produk utama dan produk lanjutan Kumpulan QSR dieksport ke Singapura, China, Hong Kong dan Indonesia. Kumpulan juga telah mendapat kontrak eksklusif untuk membekalkan produk ayam lanjutan ke pasaran Brunei Darussalam.

 
Restoran-restoran
 
Peruncitan Ayamas
Operasi-operasi Sampingan
   
   
 
Maklumat penting perundangan - sila rujuk bahagian Polisi Privasi dan Penafian sebelum ke ruangan berikutnya.
Hakcipta © 2004 - 2005 QSR Brands Bhd. Kesemua Hakcipta Adalah Terpelihara.