Menyebut saja hidangan Makanan Segera Barat, pastinya nama KFC dan rangkaian restorannya meniti dari bibir ke bibir. Di Malaysia, rangkaian Restoran Makanan Segera Barat KFC merupakan jenama paling terkenal di samping khidmat mesra pelanggannya. Setelah 30 tahun kewujudannya di Malaysia, jutaan pelanggan telah mengunjungi rangkaian restoran ini – untuk menikmati hidangan yang menyelerakan, layanan mesra kakitangannya serta suasana hiasan dalaman yang mendamaikan.

Sejak pembukaan restoran pertama KFC di Malaysia pada tahun 1973, sambutan masyarakat negara ini terhadap resipi Colonel Sanders ini sangat menggalakkan. Sambutan ini mengalakkan KFC Malaysia membuka lebih banyak restoran dari masa ke semasa. Kini KFC Malaysia berbangga mempunyai 420 buah restoran dan empat kedai pelbagai-jenama (multibrand stores) yang beroperasi di Malaysia, Singapura dan Brunei. Rangkaian restoran ini menawarkan pelbagai jenis dan rasa masakan ayam yang “sedapnya hingga menjilat jari”, di samping burger, snek dan beberapa hidangan sampingan. Rasa dan mutu masakan KFC memang berbaloi dengan jumlah wang yang dibelanjakan. Di sini, pelanggan boleh menikmati pelbagai jenis pilihan makanan yang sesuai dengan selera semua peringkat umur.

Pelbagai produk hidangan diperkenalkan dari masa ke masa untuk dinikmati oleh pelanggan; seperti Zinger Burger, Popcorn Chicken, The Colonel’s Wholesome 3 – Course Meal, Bandito Pockett, Pocket of Persia dan KFC Tom Yam Crunch. Kesemua produk berkenaan terbukti berjaya menambat selera pelanggan kami, seterusnya menjadi makanan kegemaran ramai.

Dengan menguasai lebih daripada 50 peratus pasaran perniagaan seumpamanya, KFC kini dikenali sebagai rangkaian Restoran Makanan Segera Barat (QSR) No. 1 dan paling popular di Malaysia.

Tahun 2002 mencatat sejarah penting buat KFC Malaysia apabila melonjak sebagai pengendali restoran bertaraf antarabangsa dengan kejayaan menguasai pasaran Singapura. KFC Malaysia berjaya menguasai Kentucky Fried Chicken Management Pte. Ltd. yang sebelum ini mengendalikan rangkaian restoran KFC di negara berkenaan. Kejayaan ini juga menjadikan KFC Malaysia sebagai anak syarikat QSR paling cemerlang di rantau Asia Tenggara.

Kejayaan KFC Malaysia turut diiktiraf dalam beberapa pencapaian lain seperti:

  • menjadi pengendali restoran QSR pertama di dunia yang menggaji pekerja cacat pendengaran dan bisu. Kini terdapat tiga buah restoran KFC yang dikendalikan sepenuhnya oleh golongan kurang upaya ini.
  • menjadi pengendali restoran pertama di Malaysia yang memperkenalkan konsep baru seperti:

    • mewujudkan restoran generasi kedua yang 30 peratus kos pembukaannya lebih rendah berbanding kos pembukaan generasi pertama, tetapi mendatangkan pulangan dan keuntungan yang lebih lumayan.
    • mewujudkan tema restoran yang menjana keceriaan untuk menarik lebih ramai pelanggan kanak-kanak dan remaja.
    • mewujudkan restoran-restoran santai di kompleks-kompleks membeli belah yang sibuk.
    • mewujudkan kiosk di lokasi-lokasi yang mempunyai ruang terbatas.

  • menjadi restoran pertama di dunia yang mengusahakan restoran bergerak - KFC Meals-On-Wheels. Melalui sistem ini, KFC menggunakan dapur bergerak sepanjang 40 kaki yang boleh menyediakan 700 hidangan sehari. Sistem ini digunakan untuk tempahan di majlis-majlis terbuka dan di kawasan lapang.
  • Merupakan restoran pertama dalam rangkaian operasi antarabangsa KFC yang menubuhkan kelab kanak-kanak yang dikenali sebagai KFC Chicky Club (dulunya dikenali sebagai Kids Fun Club)
  • Merupakan penerima pertama anugerah Operator of the Year Award yang diberikan oleh Tricon Restaurants International (kini dikenali sebagai Yum! Brands, Inc.)

Kesemua anugerah yang diterima sejak beberapa tahun lalu merupakan bukti kejayaan cemerlang KFC Malaysia serta bukti pengiktirafan antarabangsa terhadap mutu hidangan dan perkhidmatan rangkaian restorannya.

Sebagai peneraju pasaran, KFC Malaysia terus mengkaji perkembangan dan arah aliran pasaran, bagi mengenal pasti peluang-peluang baru yang boleh diteroka dalam usaha meningkatkan keuntungan.

Dalam usaha menjana pasaran dan pulangan yang lebih lumayan, Kumpulan QSR membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun untuk tujuan pengiklanan, promosi dan lain-lain program sokongan pemasaran. Ini bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna, sekaligus meningkatkan pembelian mereka terhadap produk-produk yang ditawarkan.

Kesemua iklan KFC yang dimuatkan di radio dan televisyen memaparkan restoran KFC sebagai restoran makanan segera-untuk-keluarga, dengan konsep ceria, girang dan menyeronokkan. Pada setiap masa, iklan-iklan berkenaan dipersembahkan dengan penuh berhati-hati serta mengambil kira sasaran kategori pelanggan atau penontonnya.

Sementara itu, bagi meningkatkan hubungan yang mantap lagi berpanjangan dengan kanak-kanak, KFC Malaysia mengambil inisiatif menerbitkan rancangan televisyen kanak-kanak ‘KFC Hour’ . Rancangan ini terbukti sangat berkesan dan mendapat pengiktirafan sebagai salah satu rancangan kanak-kanak paling popular di televisyen tempatan.

Di samping itu, dalam usaha memantapkan imej rangkaian “restoran untuk keluarga”, KFC Malaysia turut menganjurkan beberapa program menarik untuk meningkatkan pasaran produknya. Antara program berkenaan ialah mewujudkan kelab kanak-kanak yang dikenali sebagai Chicky Club (dulunya dikenali sebagai Kid’s Fun Club), mengadakan taman permainan kanak-kanak di restoran-restoran tertentu dan memperkenalkan produk makanan yang sesuai dengan selera kanak-kanak - Chicky Meals. KFC juga menawarkan perkhidmatan mengendalikan sambutan hari jadi di restorannya, yang menampilkan maskot ceria KFC - “Chicky” bersama seorang pengacara majlis yang akan mempersembahkan pelbagai acara dan permainan menarik. Jika ada ibu bapa yang berminat untuk mengadakan sambutan hari jadi anak mereka di KFC, mereka bolehlah menghubungi mana-mana restoran KFC berdekatan.

Dalam usaha menterjemah polisi syarikat agar KFC lebih dikenali masyarakat dan lebih bersifat mesra-pelanggan, beberapa kajian ke atas gelagat pengguna turut dilakukan oleh syarikat penyelidikan tertentu yang dilantik oleh KFC. Data dan keputusan yang diperolehi kemudiannya disemak oleh panel penyelidik dalaman sebelum dibentangkan kepada pihak pengurusan Kumpulan. Kaji selidik ke atas puluhan ribu responden rakyat Malaysia ini menjadikan KFC lebih memahami kehendak pelanggan dan penggunanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai KFC Malaysia, sila layari laman www.kfc.com.my
 
Peruncitan Ayamas
Ternakan Ayam Bersepadu
Operasi-operasi Sampingan
   
   
 
Maklumat penting perundangan - sila rujuk bahagian Polisi Privasi dan Penafian sebelum ke ruangan berikutnya.
Hakcipta © 2004 - 2005 QSR Brands Bhd. Kesemua Hakcipta Adalah Terpelihara.