Kami di Kumpulan QSR sentiasa berminat dan komited dalam memberikan sumbangan positif kepada masyarakat. Sumbangan korporat kami bukan sahaja tertumpu kepada kanak-kanak, tetapi turut melibatkan orang tua, ibu tunggal, keluarga miskin dan lain-lain golongan. Selain daripada Tabung Penyayang KFC dan Projek Penyayang KFC, projek khidmat masyarakat lain yang turut dianjurkan termasuklah:

Hari Kanak-kanak Sedunia

QSR telah menjadi salah satu penaja utama perayaan Hari Kanak-kanak Sedunia di Malaysia sejak tahun 1994. Pada penganjuran ini pelbagai sumbangan bernilai jutaan ringgit telah diberikan termasuklah ayam goreng KFC, barangan premium, hadiah hamper dan sebagainya. KFC mula memberikan sumbangan berkenaan sejak sedekad yang lalu. Perayaan Hari Kanak-kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan yang diadakan setiap tahun menyaksikan penyertaan kontinjen dari 13 buah negeri selain penyertaan kanak-kanak kurang upaya dan kanak-kanak kurang bernasib baik.

Sambutan Hari kanak-kanak Sedunia yang dibuat setiap tahun merupakan anjuran Kementerian Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat. Setiap tahun, majlis sambutan hari berkenaan diserikan dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong.

   
Restoran KFC Yang Dikendalikan Oleh Kakitangan Pekak & Bisu
Kumpulan QSR juga turut melakukan beberapa pembaharuan dalam aktiviti khidmat sosialnya. Antara program yang agak menarik perhatian ramai ialah pembukaan restoran KFC yang dikendalikan sepenuhnya oleh kakitangan pekak dan bisu. Restoran pertama seumpama ini dibuka di Kuala Lumpur pada tahun 1986. Kejayaan restoran berkenaan mendorong KFC membuka dua buah lagi restoran seumpamanya pada tahun 1996, masing-masing di Sabah dan Sarawak. Kini KFC berbangga mempunyai tiga buah restoran yang dikendalikan sepenuhnya oleh golongan pekak dan bisu, sebagai salah satu sumbangannya kepada golongan kurang upaya di negara ini. Kami berjaya dan berbangga kerana mampu membantu golongan ini berdikari dan hidup ceria seperti insan normal yang lain.
   
Tabung Keamanan Antarabangsa Malaysia (MIPF)
Sebagai warga korporat yang prihatin dan bertanggungjawab, kami sentiasa bersedia membantu dan menyokong sebarang usaha kearah meningkatkan mutu hidup manusia serta meringankan beban penderitaan hidup mereka yang ditimpa kesusahan tanpa mengira batas geografi. Pada tahun 2003, kami turut memberi sumbangan kepada kempen mengumpul dana MIPF dengan sumbangan wang berjumlah RM500,000.00 bagi meringankan penderitaan mangsa perang di Iraq. Sepanjang kempen berkenaan juga, KFC telah memperuntukkan 1% daripada jumlah jualannya kepada tabung MIPF.
   
Sambutan Pelbagai Hari Perayaan
  Kami turut berkongsi pandangan dengan rakyat Malaysia bahawa Hari Perayaan milik kaum tertentu perlulah dihormati oleh kaum-kaum yang lain sebagai simbol kepada perpaduan dan keharmonian hidup di negara ini. Malah ada sesetengah perayaan milik agama kaum tertentu turut diraikan bersama oleh kaum-kaum yang lain di negara ini. Sehubungan itu, KFC tidak lupa untuk turut meraikan setiap Hari Perayaan utama di negara ini dengan menganjurkan program bersama anak-anak yatim, golongan kurang upaya, orang-orang tua, penghuni rumah kebajikan, ibu tunggal dan golongan miskin. Di antara program yang dianjurkan ialah seperti majlis berbuka puasa, Hari Raya, Tahun Baru China, Krismas dan Hari Ibu. Di majlis-majlis berkenaan, mereka yang diraikan akan menerima hadiah seperti barangan premium, perkakas sekolah, alat permainan, hadiah, wang saguhati dan Ang Pow.
   
Taman Permainan KFC
Kami juga turut menderma taman permainan kanak-kanak yang lengkap dan selamat kepada beberapa pusat kesihatan, terutama di wad pediatrik. Kami merasakan bahawa kanak-kanak yang sedang mengalami masalah kesihatan dan sedang menerima rawatan tidak terkecuali daripada mendapat perhatian istimewa KFC. Sehingga kini, terdapat enam buah taman permainan kanak-kanak yang telah disumbangkan oleh KFC di seluruh Malaysia.
   
Derma Tetap Bulanan / Tahunan
KFC masih meneruskan amalan menderma atau memberi sumbangan tetap sama ada secara bulanan atau tahunan kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan tertentu. Di antara pertubuhan atau persatuan yang masih menerima sumbangan bulanan atau tahunan KFC ialah Persatuan Penterjemah Orang-orang Pekak; Yayasan Sindrom Down Kiwanis; Yayasan Cancerlink dan Rumah KFC – Bakti Semantan. Selain daripada itu, sumbangan atau derma korporat juga diberikan dengan segera kepada mereka yang ditimpa bencana atau kesusahan.
   
Sumbangan Mangsa Gempa Bumi di Bam, Iran
Sebagai meneruskan tradisi membantu mereka yang ditimpa bencana dan kesusasahan tanpa mengira batas geografi, KFC turut memberi sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Tabung Kemanusiaan Mercy bagi membantu mangsa gempa bumi di Iran. Kami mengharapkan agar derma ini mampu meringankan serba sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa bencana alam berkenaan.
   
 
'Tabung Penyayang' KFC
   
   
 
Maklumat penting perundangan - sila rujuk bahagian Polisi Privasi dan Penafian sebelum ke ruangan berikutnya.
Hakcipta © 2004 - 2005 QSR Brands Bhd. Kesemua Hakcipta Adalah Terpelihara.